Friday 30 September 2011

Cara Menjaga & Pembajaan Orkid

CARA PENJAGAAN ORKID
Pada bab ini penulis membincangkan  elemen-elemen penting untuk mendapatkan orkid yang hidup subur, sihat dan seterusnya memberikan anda kepuasan melihat bunganya. 4 elemen yang  dibincangkan nanti adalah  daripada pengalaman penulis dan perkongsian maklumat sesama penanam orkid  berdasarkan cuaca iklim tropika di Malaysia. Pengalaman penulis, penjagaan seperti penyiraman  dilakukan secara automatik pada hari bekerja. Pada hari cuti hujung minggu, penulis lakukan siraman secara manual, pemeriksaan penyakit,  pembajaan dan pembiakan jika perlu.
‘ROOT GOOD, GROWTH GOOD, FLOWER GOOD’
Kata-kata di atas adalah satu  lagi petua  yang amat bagus untuk anda ingat di dalam penjagaan orkid. Setiap pokok baru di tanam atau pemindahan pasu , penulis akan memberi perhatian lebih di dalam usaha untuk memberi pertumbuhan akar baru dengan baik dan sihat.

1.   Penyiraman
Jika anda ragu ragu untuk menyiram, JANGAN SIRAM !
Di atas adalah satu  petua yang popular  dan dijadikan panduan oleh penanam orkid. Ini kerana dibimbangi anda telah melakukan penyiraman yang  melampau terhadap koleksi orkid anda. Kesan buruk tabiat ini ialah  anda ‘menjemput’ penyakit  kepada kloeksi orkid anda.  Ini kerana orkid mampu menyimpan air  di dalam bebawangnya  seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Orkid juga mempunyai akar udara yang mampu menyerap wap air di persekitaran hidupnya. Walaupun begitu kadar penyiraman orkid bergantung kepada beberapa faktor seperti:
a. Cuaca semasa
Kadar kekerapan penyiraman di musim panas sudah tentunya lebih berbanding di musim hujan.
b. Media tanaman digunakan
Jika anda menggunakan media yang dapat menyimpan air lebih lama, maka kadar penyiraman hendaklah  kurang daripada media yang cepat kering.
c. Iklim mikro
Bermaksud adalah  iklim kawasan penanaman anda. Ini kerana iklim mikro adalah berbeza beza di antara anda dengan penanam orkid yang lain.
Penyiraman hendaklah dilakukan sebaik baiknya pada waktu pagi atau petang.  Penyiraman di waktu tengahari  akan  menyebabkan  air yang bertakung di celah daun   akan menyebabkan penyakit reput pucuk dan daun melecur dek proses pemanasan air oleh matahari.
Teknik penyiraman boleh digunakan  secara manual atau memasang satu sistem penyiraman automatik yang mudah seperti penulis gunakan.

2 .   Pengudaraan
Orkid memerlukan pengudaraan yang baik supaya tidak mudah di serang penyakit terutamanya penyakit yang disebabkan bawaan kulat. Pengudaraan yang baik boleh diberi dengan susun atur  orkid  yang tidak terlalu padat atau membekal  pengudaraan buatan seperti memasang kipas. Penulis hanya menggunakan teknik susun atur orkid sahaja bagi menjimatkan kos selengaraan.

3.  Pembajaan
Pembajaan adala sesuatu  yang mesti diberi  kepada tanaman  termasuk orkid untuk mendapatkan kualiti hidup  orkid yang lebih baik. Bagaiman teknik membaja orkid?
‘WEAKLY,  WEEKLY‘
Di atas adalah satu lagi  petua yang  bagus di jadikan panduan untuk anda membaja orkid. Ia membawa maksud anda menggunakan sukatan kepekatan  baja yang rendah  untuk setiap minggu semburan. Orkid hanya menyerap nutrien yang diperlukan sahaja pada sesuatu ketika. Jangan  menggunakan kepekatan  tinggi dan disembur sebulan sekali. Ini adalah teknik yang salah  dan merugikan anda.
a)       Panduan memilih baja
Penerangan unsur unsur di dalam baja bagi keperluan tanaman adalah kompleks. Penulis  cuba ringkaskan bahawa pemilihan baja bergantung kepada kehendak anda. Dipasaran terdapat pelbagai jenis baja yang dijual  untuk pilihan pengguna.  Jika inginkan tumbesaran pokok anda perlukan baja yang mengandungi kadar nitrogen (N) yang lebih tinggi. Jika untuk pembungaan, anda perlukan baja yang kandungan fosforus(P) dan kalium(K) yang lebih tinggi.
Biasanya pada  label baja akan tertera semua kandungan ketiga-tiga unsur tersebut.
Contoh: Baja A : N P K  +TE  :  13 27 27   1%
Untuk Baja A tersebut, ia sesuai untuk pembungaan orkid anda kerana  mengandungi  unsur nitrogen 13 % dan unsur fosforus dan kalium sebanyak 27%. +TE di sini bermaksud  baja ini mempunyai  ‘trace element’ atau unsur surih  sebanyak 1%. Unsur surih bermaksud  nutrien tambahan yang diperlukan oleh tanaman tapi dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Ia boleh diumpamakan seperti anda makan nasi dengan aneka lauk pauk. Nasi adalah keperluan  utama anda, lauk pauk ada keperluan sampingan sahaja.
Penulis menggunakan baja organik ‘B’GREEN  seaweed’  untuk  memberi pertumbuhan yang sihat dan ‘B’GREEN bloom & fruit’ untuk  membekal nutrien yang diperlukan untuk orkid berbunga.
B’GREEN seaweed   adalah baja organik campuran yang diperkaya dengan seaweed yang mana  ia telah digunakan secara meluas di seluruh dunia sebagai baja kerana mengandungi  beberapa hormon semulajadi yang amat  diperlukan oleh tumbuhan, mengandungi 60 unsur surih(TE) dan mengandungi  elemen sebagai  anti  beberapa penyakit  bawaan kulat dan serangga penghisap cecair tumbuhan.
B’GREEN bloom & fruit  adalah campuran  baja bukan organik  N P K  +TE : 5 35 15 2% dengan satu bahan organik bertujuan  untuk mempermudahkan dan mempercepatkan kadar penyerapan  nutrien oleh  tumbuhan.

Kawalan penyakit dan perosak orkid
Kawalan perosak merupakan satu perkara amat penting untuk anda ambil perhatian. Ini kerana ia mempengaruhi kualiti  hidup  orkid  dan mungkin yang lebih  penting anda mungkin kehilangan  orkid anda selamanya.
Penyakit orkid boleh dikelaskan kepada  bawaan 4 elemen, iaitu virus, bakteria, serangga dan kulat.  Kemahiran mengenal penyakit  memerlukan pengetahuan dan pengalaman kerana kadang kala  sesuatu penyakit itu mempunyai  tanda yang sama  untuk bawaan  virus atau bakteria atau kulat. Di sini penulis berkongsi pengalaman untuk rawatan penyakit bawaan  serangga, kulat dan bakteria sahaja.
1. Virus
Penyakit bawaan virus agak sukar untuk kita kenal pasti secara teliti kerana memerlukan ujian makmal. Bagaimanapun serangan virus hanya melemahkan pokok orkid anda, tidak menyebabkan  kehilangan poko k orkid kesayangan anda. Untuk mengelakkan jangkitan  virus  anda perlu  menjaga kebersihan kawasan penanaman. Untuk rawatan , anda perlu memusnahkan pokok yang dijangkiti. Ya , sudah pasti ia satu keputusan yang sukar untuk anda!
2. Bakteria
Biasanya tanda penyakit  orkid disebabkan  bakteria  meyamai  dengan penyakit bawaan kulat. Apa yang penulis perhatikan,  penyakit  bawaan bakteria adalah lebih cepat merebak  berbanding bawaan kulat. Tanda biasa penyakit bawaan bakteria ialah  reput pada mana-mana bahagian pokok dan berbau busuk. Keadaan tempat penanaman yang terlalu lembap dan  pengudaraan yang  kurang baik adalah antara faktor jangkitan.
Antara penyakit  bawaan bateria adalah:
Reput bakteria (Bacterial rot) – satu bintik coklat berair pada daun, cepat merebak. Biasa menyerang orkid famili Phalaenopsis.
Reput daun ( Brown Rot) – bintik berair pada daun, daun kuning dan gugur.
3. Kulat (fungus)
Tanda seperti  disebabkan  oleh bakteria tetapi  kadar merebak lebih lambat  dan tidak mengeluarkan bau busuk. Keadaan tempat penanaman yang terlalu lembap dan pengudaraan yang kurang baik adalah punca utama jangkitan. Antara penyakit bawaan kulat yang biasa menyerang orkid ialah:
Antraknose
Black leaf spot
Cercospora leaf spot
Reput hitam ( Black rot)
Reput pangkal ( Basal rot)
Reput pucuk ( Crown rot)
Oleh sebab itu  ada  pengeluar  yang mengeluarkan racun 2 dalam 1  iaitu untuk merawat  penyakit kulat dan bakteria serentak. Ada racun yang dijual boleh merawat beberapa jenis penyakit dan ada yang tertumpu kepada satu jenis penyakit sahaja untuk pilihan pembeli.
a)  Rawatan terhadap bakteria dan kulat
Potong dan buang bahagian jangkitan. Jika orkid simpodial, penulis membuang  rumpun kecil yang dijangkiti. Jika orkid monopodial, ia biasa berlaku pada daun, penulis hanya memotong daun yang dijangkiti sahaja.
Sapukan atau semburkan racun kulat yang bersesuaian dengan penyakit kepada rumpun atau pokok yang telah sihat untuk langkah berjaga mengelakkan jangkitan.
Perhatikan perkembangan rumpun atau pokok yang telah dirawat, jika masih terdapat sebarang  jangkitan, ulangi proses di atas.
4. Serangga
Serangan serangga terhadap orkid adalah sesuatu yang  biasa. Antara serangga yang popular menyerang orkid adalah :
a. Semut
e. White flies
b. Aphid
f. Mites
c. Lipas
g. Scale insects
d. Kumbang
h.  Siput
Aphid, Mealy bug, Mites, Scale insects dan Thrips adalah serangga penghisap cecair tumbuhan.  Mereka biasa  terdapat di bawah daun  orkid  dan mudah di lihat dengan mata kasar. Ia akan menyebabkan pertumbuhan pokok terencat. Kehadiran mereka boleh di kesan seperti berikut:
Aphid- terdapat warna kehitaman pada pokok , biasanya di bawah daun dan celahan daunan dan batang orkid.
White flies –  seperti lalat kecil warna putih berdebu berkelompok di belakang daun.
Mites  – warna kemerahan di belakang daun,  belakang daun akan menjadi kuning dan hitam jika jangkitan teruk serta cepat merebak. Ia suka keadaan yang kering.
Scale insect – warna kuning keputihan  di atas daun dan batang pokok orkid.
Thrips – warna agak coklat di atas daun  orkid.
Koleksi penulis  biasa diserang oleh mites dan  white flies sahaja. Ia menyerang orkid yang mempunyai daun yang lembut seperti famili Sphatoglottis, Catasetum dan Coelogyne.
Kumbang, lebah dan semut akan merosakkan bunga yang telah kembang dengan memakan kudup bunga dan juga  pendebugaan yang tidak kita kehendaki. Koleksi penulis biasa di serang kumbang berwarna kuning yang selalu meninggalkan larva pada tangkai bunga yang akan  memakan keseluruhan bunga. Lebah dan semut tidak menjadi masalah utama kepada koleksi penulis.
Siput dan lipas akan memberi masalah dengan cara ia memakan akar  dan pucuk muda pokok orkid anda. Ini akan merencatkan pertumbuhan pokok. Koleksi penulis hanya berhadapan dengan masalah siput sahaja.
Panduan membeli racun serangga dan kulat
Beli  racun yang boleh merawat penyakit  yang anda kehendaki. Biasanya pengeluar akan memberi  informasi ini pada  bungkusan racun. Ini kerana kadangkala terdapat penjual yang kurang pengetahuan mengenai penyakit orkid dan racun yang sesuai untuk rawatan.
Sekian, semoga bermanfaat untuk anda.

1 comment:

  1. Thanks for the info....saya baru mendapat satu cabaran untuk menyelenggara semula pokok2 orkid sediada....harap info yang diberi dapat membantu

    ReplyDelete