Friday 30 September 2011

Cara Menanam Orkid

Cara Menanam Orkid
Mari kita bincangkan persoalan-persoalan yang sering didengari oleh HybridOrchid(HO) tentang penanaman dan penjagaan orkid di kalangan peminat flora. HO juga cuba berkongsi pengalaman beberapa teknik cara membiakkan orkid dan juga media  tanaman yang selalu digunakan dikalangan peminat orkid.

1)  Susahkah menanam orkid?
“Saya minat orkid tapi high maintenance la….”
“Mak cik minat tengok je nak tanam tak reti..”
“Orkid ? Susah la, bunga masa beli je lepas tu tak mau bunga dah..”
“Orkid mak cik banyak mati, siram, baja semua cukup dah, tu yang frust dah nak jaga orkid.”
Itulah beberapa komen spontan yang HO dengar daripada penggemar flora  apabila  mereka berkunjung ke lokasi Pasar Tani sekitar Melaka milik HO.
 Secara umum menjawab persoalan persoalan di atas, sebenarnya orkid tidak susah untuk di tanam, sama seperti pokok bunga lain juga. Apa yang penting pengetahuan tentang keperluan hidupnya sahaja. Ini adalah sesuatu yang pasti untuk anda ambil berat kerana ia adalah benda hidup seperti manusia. Sudah tentu orkid juga memerlukan persekitaran yang sesuai, ‘makanan’ dan ‘minuman’  untuk hidup. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakannya. Setelah anda melakukannya, anda akan gembira apabila melihat orkid anda hidup subur dan mengeluarkan bunga yang cantik.
Bermula dari sini HO akan cuba berkongsi pengalaman dengan pembaca segala aspek penanaman dan penjagaan orkid. Harap dapat  menambahkan lagi kefahaman pembaca tentang flora  unik ciptaan Allah ini. Penerangan diberikan dengan bahasa yang mudah dan ringkas, juga seboleh mungkin HO akan sertakan foto agar lebih mudah difahami oleh pembaca.

2)  Media penanaman orkid
Penanaman orkid memerlukan kita menentukan media yang sesuai mengikut habitat asalnya  seperti telah di terangkan di dalam sub topik; orkid dan persekitaran hidup semulajadinya. Terdapat beberapa jenis media yang biasa digunakan oleh peminat orkid. Bergantung kepada penanam untuk memilih kesesuaian media mengikut iklim mikro* kawasan penanam anda. Setiap media diterangkan secara ringkas untuk memudahkan anda mendapatkan gambaran penggunaannya.

a.   Pecahan batu bata
Salah satu media yang popular digunakan dan mudah didapati. Digunakan untuk menanam orkid epifit dan orkid memanjat. Biasanya dicampur sekali bersama dengan pecahan arang. Biasanya penulis mendapatkan sumber pecahan batu bata ini di kawasan pembinaan perumahan.
Teknik menggunakan;
i.                    Sebelum menggunakan batu bata hendaklah direndam di dalam racun kulat selama semalaman. Selepas itu angkat dan keringkan.
ii.                 Pecahkan batu batu kepada saiz besar, medium dan kecil mengikut kesesuaian pasu.
iii.               Letakkan pecahan besar di bawah pasu, diikuti dengan bersaiz medium dan kecil.
iv.               Tanam orkid di atas permukaan pasu. Jangan timbus pangkal orkid anda. Untuk tegakkan orkid yang tinggi, boleh gunakan kayu pancang sebagai sokongan.
Nota : Pangkal orkid  simpodial tidak boleh ditimbus semasa menanamnya kerana dipangkalnya  terdapat beberapa mata tunas yang akan membentuk anak kelak.

b.   Pecahan arang
Juga media yang popular dan mudah didapati di kedai kedai runcit. Digunakan untuk orkid epifit dan orkid memanjat. Digunakan bersama dengan pecahan batu bata.
Teknik menggunakan:
i.                    Rendamkan arang selama semalaman untuk membuang garam. ( kerana arang diperbuat daripada kayu bakau yang tumbuh di tepi laut).
ii.                 Siram arang menggunakan aliran air  supaya sisa garam dapat dibuang.
iii.               Ikut teknik seperti menggunakan pecahan batu bata untuk langkah seterusnya.
c.      Serbuk kayu
Biasa digunakan sebagai media yang diletakkan didalam pasu atau batas untuk menanam orkid jenis memanjat.
Teknik menggunakan:
( Penulis menggunakan serbuk kayu sebagai campuran bersama dengan media lain seperti pecahan batu bata, arang, tanah pasuan dan perlite)
i.                    Rendam serbuk kayu yang ingin digunakan di dalam racun kulat semalaman. Angkat dan keringkan.
ii.                 Masukkan habuk kayu ke dalam bekas tanaman.
iii.               Letakkan orkid di atas media. Jika menanam orkid yang hidup ditanah, penulis campur bersama dengan media pasuan dengan tujuan untuk membekalkan bahan organik di dalam tanah apabila ia mereput.

d.   Perlite
Perlite semakin digemari di dalam penanaman orkid. Begitu juga dengan HO, ini kerana ia mudah dikendalikan, ringan, tahan lama. Perlite juga boleh dicampur bersama dalam tanah pasuan untuk memperbaiki sistem saliran dan pengudaraan tanah. Sesuai untuk orkid epifit dan orkid yang hidup ditanah. HO menggemari media ini kerana ia boleh mengurangkan risiko penyakit dek kesan daripada penyiraman melampau.
Teknik menggunakan:
i.                    Siram perlite dengan air supaya ia basah sebelum mengendalikannya. Ini adalah untuk tujuan keselamatan kerana perlite yang berkeadaan kering, partikelnya mudah berterbangan kerana ia sangat ringan. Dibimbangi memudaratkan kita apabila disedut. Tidak rugi kita berhati-hati.
ii.                 Isikan ke dalam pasu sehingga penuh.
iii.               Letakkan orkid di atasnya, boleh juga dibenamkan orkid sehingga menutup rizomnya. Ini tidak memudaratkan kerana perlite masih memberi rongga udara.
iv.               Boleh menggunakan kayu sokongan untuk penanaman orkid yang tinggi dan besar saiznya.

e.   Sphagnum moss
Media yang popular dibuat sebagai lapisan untuk menanam orkid  epifit pada tunggul kayu dan potongan dahan tembusu. Ia mampu meyimpan kelembapan dengan lebih lama. Ada juga penanam menggunakan 100% sphagnum moss yang diletakkan di dalam pasu untuk menanam orkid genus phalaenopsis. Ini untuk mengekalkan kelembapan lebih lama kerana orkid jenis ini tidak mempunyai bebawang untuk menyimpan air.
Teknik menggunakan;
i.                    Sphagnum moss yang hendak digunakan direndam di dalam larutan racun kulat semalaman. Angkat dan biarkan sehingga ia  terasa lembap.
ii.                 Isikan ke dalam pasu atau tampalkan kepada tunggul kayu misalnya
f.   Potongan batang paku pakis gajah.
Media ini juga amat digemari oleh penanam orkid kerana ia boleh menyimpan air dengan lebih lama dan mengelakkan kesan buruk daripada penyiraman melampau.  Media ini amat sesuai untuk tanama secara gantung.
Teknik menggunakan;
i.                    Potong batang paku gajah mengikut kesesuaian  orkid yang hendak di tanam.
ii.                 Lekatkan orkid di atasnya dengan menggunakan tali yang tidak mencederakan orkid anda. HO biasa menggunakan tali rafia kerana ia akan reput setelah orkid hidup dengan stabil pada media tanaman.

g.   Tunggul kayu
Media ini sesuai untuk  tanaman orkid secara gantung. Ia lebih cepat kering berbanding dengan potongan paku pakis gajah.  Ia mudah diperolehi di dalam hutan,di ladang-ladang sawit  atau di tepi sungai.
Teknik menggunakan sama seperti menggunakan potongan batang paku pakis gajah. Boleh diletakkan sedikit Sphagnum moss untuk melambatkan kadar kehilangan air selepas siraman.

h.   Potongan dahan tembusu
HO menggunakan media ini untuk menanam orkid daripada  famili Bulbophyllum dan Phalaenopsis. Daripada pemerhatian HO  orkid lebih cepat hidup stabil apabila menggunakan media ini. Ia mempunyai kulit yang tebal yang mampu menyimpan air lebih lama.

i.   Tanah campuran
Orkid yang hidup di tanah memerlukan media ini. HO biasanya menggunakan campuran tanah kompos, perlite dan sekam padi pada kadar 1:1:1. Ini dapat memberi kadar saliran dan pengudaraan media yang amat baik lepada akar orkid.

j. Tiada media
Tiada media bermaksud orkid digantung bebas tanpa menggunakan  sebarang media. Teknik ini sesuai untuk orkid jenis Vanda. Teknik ini memerlukan kadar penyiraman yang lebih.

No comments:

Post a Comment