Friday, 30 September 2011

Pembiakan Mengikut Persekirannya

Penyediaan persekitaran hidup orkid

Orkid seperti  tanaman yang lain juga yang memerlukan penanam menyediakan persekitaran hidup yang sesuai untuknya. Perkataan lain yang paling sesuai sekali ialah kadar pencahayaan. Kadar pencahayaan kepada orkid boleh di beri dengan  penyediaan  teduhan sebab setiap jenis orkid memerlukan kadar cahaya yang berbeza-beza. Sebagai contoh, orkid famili Arachnis memerlukan cahaya matahari 100% manakala orkid famili Phalaenopsis memerlukan cahaya matahari hanya 50% untuk hidup dengan subur. Ada 2 teknik teduhan yang biasa digunakan oleh penanam orkid.

a.      Rumah teduhan
Teknik ini amat popular  dikalangan penggemar orkid kerana mudah untuk menyediakan kadar teduhan. Untuk teduhan biasanya mereka menggunakan jaring teduhan berwarna hitam yang biasa dijual. Kadar teduhan jaring tersebut biasanya adalah 50% dan terdapat  beberapa jenis untuk pilihan penanam.

b.      Tanaman bersama pokok teduhan
Teknik ini boleh dikatakan orkid dijadikan antara elemen penyeri taman. Teduhan orkid diperolehi melalui kanopi pokok-pokok teduhan yang ada di taman penanam, atau terus menanam orkid pada dahan-dahan pokok  di taman. Ia lebih kelihatan semulajadi. Sesuai untuk pembinaan landskap berasaskan orkid atau diintegrasikan bersama bunga-bungaan lain.

Cara pembiakan orkid
Sebagai penggemar orkid, fasa pembiakan orkid memang tidak dapat di elakkan kerana  ia sudah tentu memberikan anda kelebihan untuk meningkatkan bilangan pokok di dalam koleksi anda. Selain itu risiko anda untuk kehilangan total pokok yang mungkin mati di serang penyakit juga amat rendah kerana mempunyai beberapa pokok  daripada jenis yang sama.
Orkid boleh dibiakkan dengan beberapa cara antaranya:
- pembiakan daripada anak benih
  • daripada ‘flask’
  • pot komuniti
  • pot individu
- pembahagian rumpun
- keratan daripada pokok induk
- benih

Daripada  4 cara di atas,  teknik akhir tidak dibincangkan di sini. Ini kerana adalah amat rumit  untuk dilakukan penyemaian secara tersebut. HO sendiri tiada pengalaman berkenaan perkara tersebut. Walaupun begitu amat cukup untuk pembaca mengetahui 3 cara yang pertama disebutkan untuk menggandakan koleksi orkid pembaca.

Pembiakan melalui anak benih
1.                  Pengeluaran daripada ‘flask’
Benih yang telah disemai akan membesar menjadi anak benih di dalam ‘flask’. Apabila telah cukup besar ia perlu dikeluarkan untuk ditanam di dalam pasu. Anda boleh membeli anak benih di dalam ‘flask’ ini di nurseri orkid yang menjualnya dengan harga serendah  RM20.00, bergantung kepada sesuatu jenis orkid.

Berikut diterangkan teknik mengeluarkan anak benih daripada ‘flask’.
Anak orkid didalam botol (flask) boleh didapati dikebanyakkan nursery orkid.  Harganya dari RM20 hinggalah RM1000 mengikut jenis orkid.  Dalam satu botol ada lebih kurang 5 hingga 50 anak orkid.
Bahan bahan yang diperlukan;
1.                  Racun kulat
2.                  Lumut (sphagnum moss) atau sabut kelapa (yang sudah dihancurkan).  Basahkan lumut air atau sabut kelapa tersebut.
3.                  Kertas suratkhabar
Caranya;
1.                  Keluarkan anak orkid dari botol.  Jika mulut botol itu besar, gunakan penyepit (forceps) yang telah disterilkan.  Jika mulut botol itu kecil maka botol hendaklah dipecahkan.
2.                  Basuhkan anak orkid menggunakan air.  Pastikan tiada agar-agar (jelly) melekat diakar pokok.
3.                  Rendamkan anak orkid itu kedalam larutan anti fungus selama 10 hingga 15 minit.
4.                  Tuskan dan keringkan anak orkid itu di atas kertas suratkhabar selama setengah jam (hanya letakkan di atas kertas suratkhabar dan dianginkan)
5.                  Setelah itu balutkan akar anak orkid dengan lumut air atau sabut kelapa dan masukkan kedalam pasu mengikut saiznya (pasu yang kecil dipanggil thumbpot)
6.                  Untuk anak pokok yang terlalu kecil kumpulkan dan ditanam didalam satu pasu (pasu ini dipanggil compot)
7.                  Letakkan di tempat yang teduh dan tidak terkena air hujan.
8.                  Siram/semburkan baja penyubur sebanyak 2 atau 3 kali seminggu.
9.                  Apabila sudah membesar, pindahkan ke pasu yang besar sedikit mengikut saiz yang bersesuaian dengan anak orkid.  Ulangi proses pemindahan ini 2 atau 3 kali sehingga orkid matang.
Jangkamasa untuk anak orkid membesar hingga matang dan bersedia untuk berbunga adalah dari 5 bulan hingga 3 tahun bergantung pada jenis orkid.  Contohnya, orkid jenis phal mengambil masa sekurang kurangnya 8 bulan untuk berbunga.

2.         Pot komuniti
Orkid yang telah dikeluarkan daripada ‘flask’ dan telah ditanam secara kelompok di dalam satu pasu dikenali sebagai  ‘Communiy Pot’ atau ringkasnya ‘compot’. Penanam boleh terus membeli orkid yang telah siap di tanam di dalam ‘compot’ di nurseri orkid.Setiap ‘compot’ biasanya mengandungi antara 10-20 anak pokok. Risiko orkid untuk hidup jika dibiakkan  cara begini adalah lebih tinggi berbanding secara ‘flask’. Oleh itu  bagi anda yang kurang pengalaman, boleh membeli ‘compot’ orkid  untuk menggandakan koleksi orkid anda.
3.    Pot individu
Setelah orkid di dalam ‘compot’ membesar, nurseri akan memindahkannya dalam pasu yang lebih besar  secara individu. Maka, anda juga boleh membeli  orkid secara begini kerana biasa orkid yang di tanam di dalam pasu individu telah hidup stabil.

Pembahagian rumpun
Teknik pembiakan ini amat sesuai untuk orkid simpodial. Apabila rumpun orkid telah cukup besar ia boleh dipecahkan kepada beberapa rumpun kecil untuk dibiakkan.

Keratan daripada pokok induk
Teknik  pembiakan ini  amat sesuai untuk orkid monopodial. Sebahagian pucuk orkid yang telah mempunyai akar dipotong  daripada pokok induk dan di tanam sebagai satu individu yan baru.

Cara Menanam Orkid

Cara Menanam Orkid
Mari kita bincangkan persoalan-persoalan yang sering didengari oleh HybridOrchid(HO) tentang penanaman dan penjagaan orkid di kalangan peminat flora. HO juga cuba berkongsi pengalaman beberapa teknik cara membiakkan orkid dan juga media  tanaman yang selalu digunakan dikalangan peminat orkid.

1)  Susahkah menanam orkid?
“Saya minat orkid tapi high maintenance la….”
“Mak cik minat tengok je nak tanam tak reti..”
“Orkid ? Susah la, bunga masa beli je lepas tu tak mau bunga dah..”
“Orkid mak cik banyak mati, siram, baja semua cukup dah, tu yang frust dah nak jaga orkid.”
Itulah beberapa komen spontan yang HO dengar daripada penggemar flora  apabila  mereka berkunjung ke lokasi Pasar Tani sekitar Melaka milik HO.
 Secara umum menjawab persoalan persoalan di atas, sebenarnya orkid tidak susah untuk di tanam, sama seperti pokok bunga lain juga. Apa yang penting pengetahuan tentang keperluan hidupnya sahaja. Ini adalah sesuatu yang pasti untuk anda ambil berat kerana ia adalah benda hidup seperti manusia. Sudah tentu orkid juga memerlukan persekitaran yang sesuai, ‘makanan’ dan ‘minuman’  untuk hidup. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakannya. Setelah anda melakukannya, anda akan gembira apabila melihat orkid anda hidup subur dan mengeluarkan bunga yang cantik.
Bermula dari sini HO akan cuba berkongsi pengalaman dengan pembaca segala aspek penanaman dan penjagaan orkid. Harap dapat  menambahkan lagi kefahaman pembaca tentang flora  unik ciptaan Allah ini. Penerangan diberikan dengan bahasa yang mudah dan ringkas, juga seboleh mungkin HO akan sertakan foto agar lebih mudah difahami oleh pembaca.

2)  Media penanaman orkid
Penanaman orkid memerlukan kita menentukan media yang sesuai mengikut habitat asalnya  seperti telah di terangkan di dalam sub topik; orkid dan persekitaran hidup semulajadinya. Terdapat beberapa jenis media yang biasa digunakan oleh peminat orkid. Bergantung kepada penanam untuk memilih kesesuaian media mengikut iklim mikro* kawasan penanam anda. Setiap media diterangkan secara ringkas untuk memudahkan anda mendapatkan gambaran penggunaannya.

a.   Pecahan batu bata
Salah satu media yang popular digunakan dan mudah didapati. Digunakan untuk menanam orkid epifit dan orkid memanjat. Biasanya dicampur sekali bersama dengan pecahan arang. Biasanya penulis mendapatkan sumber pecahan batu bata ini di kawasan pembinaan perumahan.
Teknik menggunakan;
i.                    Sebelum menggunakan batu bata hendaklah direndam di dalam racun kulat selama semalaman. Selepas itu angkat dan keringkan.
ii.                 Pecahkan batu batu kepada saiz besar, medium dan kecil mengikut kesesuaian pasu.
iii.               Letakkan pecahan besar di bawah pasu, diikuti dengan bersaiz medium dan kecil.
iv.               Tanam orkid di atas permukaan pasu. Jangan timbus pangkal orkid anda. Untuk tegakkan orkid yang tinggi, boleh gunakan kayu pancang sebagai sokongan.
Nota : Pangkal orkid  simpodial tidak boleh ditimbus semasa menanamnya kerana dipangkalnya  terdapat beberapa mata tunas yang akan membentuk anak kelak.

b.   Pecahan arang
Juga media yang popular dan mudah didapati di kedai kedai runcit. Digunakan untuk orkid epifit dan orkid memanjat. Digunakan bersama dengan pecahan batu bata.
Teknik menggunakan:
i.                    Rendamkan arang selama semalaman untuk membuang garam. ( kerana arang diperbuat daripada kayu bakau yang tumbuh di tepi laut).
ii.                 Siram arang menggunakan aliran air  supaya sisa garam dapat dibuang.
iii.               Ikut teknik seperti menggunakan pecahan batu bata untuk langkah seterusnya.
c.      Serbuk kayu
Biasa digunakan sebagai media yang diletakkan didalam pasu atau batas untuk menanam orkid jenis memanjat.
Teknik menggunakan:
( Penulis menggunakan serbuk kayu sebagai campuran bersama dengan media lain seperti pecahan batu bata, arang, tanah pasuan dan perlite)
i.                    Rendam serbuk kayu yang ingin digunakan di dalam racun kulat semalaman. Angkat dan keringkan.
ii.                 Masukkan habuk kayu ke dalam bekas tanaman.
iii.               Letakkan orkid di atas media. Jika menanam orkid yang hidup ditanah, penulis campur bersama dengan media pasuan dengan tujuan untuk membekalkan bahan organik di dalam tanah apabila ia mereput.

d.   Perlite
Perlite semakin digemari di dalam penanaman orkid. Begitu juga dengan HO, ini kerana ia mudah dikendalikan, ringan, tahan lama. Perlite juga boleh dicampur bersama dalam tanah pasuan untuk memperbaiki sistem saliran dan pengudaraan tanah. Sesuai untuk orkid epifit dan orkid yang hidup ditanah. HO menggemari media ini kerana ia boleh mengurangkan risiko penyakit dek kesan daripada penyiraman melampau.
Teknik menggunakan:
i.                    Siram perlite dengan air supaya ia basah sebelum mengendalikannya. Ini adalah untuk tujuan keselamatan kerana perlite yang berkeadaan kering, partikelnya mudah berterbangan kerana ia sangat ringan. Dibimbangi memudaratkan kita apabila disedut. Tidak rugi kita berhati-hati.
ii.                 Isikan ke dalam pasu sehingga penuh.
iii.               Letakkan orkid di atasnya, boleh juga dibenamkan orkid sehingga menutup rizomnya. Ini tidak memudaratkan kerana perlite masih memberi rongga udara.
iv.               Boleh menggunakan kayu sokongan untuk penanaman orkid yang tinggi dan besar saiznya.

e.   Sphagnum moss
Media yang popular dibuat sebagai lapisan untuk menanam orkid  epifit pada tunggul kayu dan potongan dahan tembusu. Ia mampu meyimpan kelembapan dengan lebih lama. Ada juga penanam menggunakan 100% sphagnum moss yang diletakkan di dalam pasu untuk menanam orkid genus phalaenopsis. Ini untuk mengekalkan kelembapan lebih lama kerana orkid jenis ini tidak mempunyai bebawang untuk menyimpan air.
Teknik menggunakan;
i.                    Sphagnum moss yang hendak digunakan direndam di dalam larutan racun kulat semalaman. Angkat dan biarkan sehingga ia  terasa lembap.
ii.                 Isikan ke dalam pasu atau tampalkan kepada tunggul kayu misalnya
f.   Potongan batang paku pakis gajah.
Media ini juga amat digemari oleh penanam orkid kerana ia boleh menyimpan air dengan lebih lama dan mengelakkan kesan buruk daripada penyiraman melampau.  Media ini amat sesuai untuk tanama secara gantung.
Teknik menggunakan;
i.                    Potong batang paku gajah mengikut kesesuaian  orkid yang hendak di tanam.
ii.                 Lekatkan orkid di atasnya dengan menggunakan tali yang tidak mencederakan orkid anda. HO biasa menggunakan tali rafia kerana ia akan reput setelah orkid hidup dengan stabil pada media tanaman.

g.   Tunggul kayu
Media ini sesuai untuk  tanaman orkid secara gantung. Ia lebih cepat kering berbanding dengan potongan paku pakis gajah.  Ia mudah diperolehi di dalam hutan,di ladang-ladang sawit  atau di tepi sungai.
Teknik menggunakan sama seperti menggunakan potongan batang paku pakis gajah. Boleh diletakkan sedikit Sphagnum moss untuk melambatkan kadar kehilangan air selepas siraman.

h.   Potongan dahan tembusu
HO menggunakan media ini untuk menanam orkid daripada  famili Bulbophyllum dan Phalaenopsis. Daripada pemerhatian HO  orkid lebih cepat hidup stabil apabila menggunakan media ini. Ia mempunyai kulit yang tebal yang mampu menyimpan air lebih lama.

i.   Tanah campuran
Orkid yang hidup di tanah memerlukan media ini. HO biasanya menggunakan campuran tanah kompos, perlite dan sekam padi pada kadar 1:1:1. Ini dapat memberi kadar saliran dan pengudaraan media yang amat baik lepada akar orkid.

j. Tiada media
Tiada media bermaksud orkid digantung bebas tanpa menggunakan  sebarang media. Teknik ini sesuai untuk orkid jenis Vanda. Teknik ini memerlukan kadar penyiraman yang lebih.

Cara Menjaga & Pembajaan Orkid

CARA PENJAGAAN ORKID
Pada bab ini penulis membincangkan  elemen-elemen penting untuk mendapatkan orkid yang hidup subur, sihat dan seterusnya memberikan anda kepuasan melihat bunganya. 4 elemen yang  dibincangkan nanti adalah  daripada pengalaman penulis dan perkongsian maklumat sesama penanam orkid  berdasarkan cuaca iklim tropika di Malaysia. Pengalaman penulis, penjagaan seperti penyiraman  dilakukan secara automatik pada hari bekerja. Pada hari cuti hujung minggu, penulis lakukan siraman secara manual, pemeriksaan penyakit,  pembajaan dan pembiakan jika perlu.
‘ROOT GOOD, GROWTH GOOD, FLOWER GOOD’
Kata-kata di atas adalah satu  lagi petua  yang amat bagus untuk anda ingat di dalam penjagaan orkid. Setiap pokok baru di tanam atau pemindahan pasu , penulis akan memberi perhatian lebih di dalam usaha untuk memberi pertumbuhan akar baru dengan baik dan sihat.

1.   Penyiraman
Jika anda ragu ragu untuk menyiram, JANGAN SIRAM !
Di atas adalah satu  petua yang popular  dan dijadikan panduan oleh penanam orkid. Ini kerana dibimbangi anda telah melakukan penyiraman yang  melampau terhadap koleksi orkid anda. Kesan buruk tabiat ini ialah  anda ‘menjemput’ penyakit  kepada kloeksi orkid anda.  Ini kerana orkid mampu menyimpan air  di dalam bebawangnya  seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Orkid juga mempunyai akar udara yang mampu menyerap wap air di persekitaran hidupnya. Walaupun begitu kadar penyiraman orkid bergantung kepada beberapa faktor seperti:
a. Cuaca semasa
Kadar kekerapan penyiraman di musim panas sudah tentunya lebih berbanding di musim hujan.
b. Media tanaman digunakan
Jika anda menggunakan media yang dapat menyimpan air lebih lama, maka kadar penyiraman hendaklah  kurang daripada media yang cepat kering.
c. Iklim mikro
Bermaksud adalah  iklim kawasan penanaman anda. Ini kerana iklim mikro adalah berbeza beza di antara anda dengan penanam orkid yang lain.
Penyiraman hendaklah dilakukan sebaik baiknya pada waktu pagi atau petang.  Penyiraman di waktu tengahari  akan  menyebabkan  air yang bertakung di celah daun   akan menyebabkan penyakit reput pucuk dan daun melecur dek proses pemanasan air oleh matahari.
Teknik penyiraman boleh digunakan  secara manual atau memasang satu sistem penyiraman automatik yang mudah seperti penulis gunakan.

2 .   Pengudaraan
Orkid memerlukan pengudaraan yang baik supaya tidak mudah di serang penyakit terutamanya penyakit yang disebabkan bawaan kulat. Pengudaraan yang baik boleh diberi dengan susun atur  orkid  yang tidak terlalu padat atau membekal  pengudaraan buatan seperti memasang kipas. Penulis hanya menggunakan teknik susun atur orkid sahaja bagi menjimatkan kos selengaraan.

3.  Pembajaan
Pembajaan adala sesuatu  yang mesti diberi  kepada tanaman  termasuk orkid untuk mendapatkan kualiti hidup  orkid yang lebih baik. Bagaiman teknik membaja orkid?
‘WEAKLY,  WEEKLY‘
Di atas adalah satu lagi  petua yang  bagus di jadikan panduan untuk anda membaja orkid. Ia membawa maksud anda menggunakan sukatan kepekatan  baja yang rendah  untuk setiap minggu semburan. Orkid hanya menyerap nutrien yang diperlukan sahaja pada sesuatu ketika. Jangan  menggunakan kepekatan  tinggi dan disembur sebulan sekali. Ini adalah teknik yang salah  dan merugikan anda.
a)       Panduan memilih baja
Penerangan unsur unsur di dalam baja bagi keperluan tanaman adalah kompleks. Penulis  cuba ringkaskan bahawa pemilihan baja bergantung kepada kehendak anda. Dipasaran terdapat pelbagai jenis baja yang dijual  untuk pilihan pengguna.  Jika inginkan tumbesaran pokok anda perlukan baja yang mengandungi kadar nitrogen (N) yang lebih tinggi. Jika untuk pembungaan, anda perlukan baja yang kandungan fosforus(P) dan kalium(K) yang lebih tinggi.
Biasanya pada  label baja akan tertera semua kandungan ketiga-tiga unsur tersebut.
Contoh: Baja A : N P K  +TE  :  13 27 27   1%
Untuk Baja A tersebut, ia sesuai untuk pembungaan orkid anda kerana  mengandungi  unsur nitrogen 13 % dan unsur fosforus dan kalium sebanyak 27%. +TE di sini bermaksud  baja ini mempunyai  ‘trace element’ atau unsur surih  sebanyak 1%. Unsur surih bermaksud  nutrien tambahan yang diperlukan oleh tanaman tapi dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Ia boleh diumpamakan seperti anda makan nasi dengan aneka lauk pauk. Nasi adalah keperluan  utama anda, lauk pauk ada keperluan sampingan sahaja.
Penulis menggunakan baja organik ‘B’GREEN  seaweed’  untuk  memberi pertumbuhan yang sihat dan ‘B’GREEN bloom & fruit’ untuk  membekal nutrien yang diperlukan untuk orkid berbunga.
B’GREEN seaweed   adalah baja organik campuran yang diperkaya dengan seaweed yang mana  ia telah digunakan secara meluas di seluruh dunia sebagai baja kerana mengandungi  beberapa hormon semulajadi yang amat  diperlukan oleh tumbuhan, mengandungi 60 unsur surih(TE) dan mengandungi  elemen sebagai  anti  beberapa penyakit  bawaan kulat dan serangga penghisap cecair tumbuhan.
B’GREEN bloom & fruit  adalah campuran  baja bukan organik  N P K  +TE : 5 35 15 2% dengan satu bahan organik bertujuan  untuk mempermudahkan dan mempercepatkan kadar penyerapan  nutrien oleh  tumbuhan.

Kawalan penyakit dan perosak orkid
Kawalan perosak merupakan satu perkara amat penting untuk anda ambil perhatian. Ini kerana ia mempengaruhi kualiti  hidup  orkid  dan mungkin yang lebih  penting anda mungkin kehilangan  orkid anda selamanya.
Penyakit orkid boleh dikelaskan kepada  bawaan 4 elemen, iaitu virus, bakteria, serangga dan kulat.  Kemahiran mengenal penyakit  memerlukan pengetahuan dan pengalaman kerana kadang kala  sesuatu penyakit itu mempunyai  tanda yang sama  untuk bawaan  virus atau bakteria atau kulat. Di sini penulis berkongsi pengalaman untuk rawatan penyakit bawaan  serangga, kulat dan bakteria sahaja.
1. Virus
Penyakit bawaan virus agak sukar untuk kita kenal pasti secara teliti kerana memerlukan ujian makmal. Bagaimanapun serangan virus hanya melemahkan pokok orkid anda, tidak menyebabkan  kehilangan poko k orkid kesayangan anda. Untuk mengelakkan jangkitan  virus  anda perlu  menjaga kebersihan kawasan penanaman. Untuk rawatan , anda perlu memusnahkan pokok yang dijangkiti. Ya , sudah pasti ia satu keputusan yang sukar untuk anda!
2. Bakteria
Biasanya tanda penyakit  orkid disebabkan  bakteria  meyamai  dengan penyakit bawaan kulat. Apa yang penulis perhatikan,  penyakit  bawaan bakteria adalah lebih cepat merebak  berbanding bawaan kulat. Tanda biasa penyakit bawaan bakteria ialah  reput pada mana-mana bahagian pokok dan berbau busuk. Keadaan tempat penanaman yang terlalu lembap dan  pengudaraan yang  kurang baik adalah antara faktor jangkitan.
Antara penyakit  bawaan bateria adalah:
Reput bakteria (Bacterial rot) – satu bintik coklat berair pada daun, cepat merebak. Biasa menyerang orkid famili Phalaenopsis.
Reput daun ( Brown Rot) – bintik berair pada daun, daun kuning dan gugur.
3. Kulat (fungus)
Tanda seperti  disebabkan  oleh bakteria tetapi  kadar merebak lebih lambat  dan tidak mengeluarkan bau busuk. Keadaan tempat penanaman yang terlalu lembap dan pengudaraan yang kurang baik adalah punca utama jangkitan. Antara penyakit bawaan kulat yang biasa menyerang orkid ialah:
Antraknose
Black leaf spot
Cercospora leaf spot
Reput hitam ( Black rot)
Reput pangkal ( Basal rot)
Reput pucuk ( Crown rot)
Oleh sebab itu  ada  pengeluar  yang mengeluarkan racun 2 dalam 1  iaitu untuk merawat  penyakit kulat dan bakteria serentak. Ada racun yang dijual boleh merawat beberapa jenis penyakit dan ada yang tertumpu kepada satu jenis penyakit sahaja untuk pilihan pembeli.
a)  Rawatan terhadap bakteria dan kulat
Potong dan buang bahagian jangkitan. Jika orkid simpodial, penulis membuang  rumpun kecil yang dijangkiti. Jika orkid monopodial, ia biasa berlaku pada daun, penulis hanya memotong daun yang dijangkiti sahaja.
Sapukan atau semburkan racun kulat yang bersesuaian dengan penyakit kepada rumpun atau pokok yang telah sihat untuk langkah berjaga mengelakkan jangkitan.
Perhatikan perkembangan rumpun atau pokok yang telah dirawat, jika masih terdapat sebarang  jangkitan, ulangi proses di atas.
4. Serangga
Serangan serangga terhadap orkid adalah sesuatu yang  biasa. Antara serangga yang popular menyerang orkid adalah :
a. Semut
e. White flies
b. Aphid
f. Mites
c. Lipas
g. Scale insects
d. Kumbang
h.  Siput
Aphid, Mealy bug, Mites, Scale insects dan Thrips adalah serangga penghisap cecair tumbuhan.  Mereka biasa  terdapat di bawah daun  orkid  dan mudah di lihat dengan mata kasar. Ia akan menyebabkan pertumbuhan pokok terencat. Kehadiran mereka boleh di kesan seperti berikut:
Aphid- terdapat warna kehitaman pada pokok , biasanya di bawah daun dan celahan daunan dan batang orkid.
White flies –  seperti lalat kecil warna putih berdebu berkelompok di belakang daun.
Mites  – warna kemerahan di belakang daun,  belakang daun akan menjadi kuning dan hitam jika jangkitan teruk serta cepat merebak. Ia suka keadaan yang kering.
Scale insect – warna kuning keputihan  di atas daun dan batang pokok orkid.
Thrips – warna agak coklat di atas daun  orkid.
Koleksi penulis  biasa diserang oleh mites dan  white flies sahaja. Ia menyerang orkid yang mempunyai daun yang lembut seperti famili Sphatoglottis, Catasetum dan Coelogyne.
Kumbang, lebah dan semut akan merosakkan bunga yang telah kembang dengan memakan kudup bunga dan juga  pendebugaan yang tidak kita kehendaki. Koleksi penulis biasa di serang kumbang berwarna kuning yang selalu meninggalkan larva pada tangkai bunga yang akan  memakan keseluruhan bunga. Lebah dan semut tidak menjadi masalah utama kepada koleksi penulis.
Siput dan lipas akan memberi masalah dengan cara ia memakan akar  dan pucuk muda pokok orkid anda. Ini akan merencatkan pertumbuhan pokok. Koleksi penulis hanya berhadapan dengan masalah siput sahaja.
Panduan membeli racun serangga dan kulat
Beli  racun yang boleh merawat penyakit  yang anda kehendaki. Biasanya pengeluar akan memberi  informasi ini pada  bungkusan racun. Ini kerana kadangkala terdapat penjual yang kurang pengetahuan mengenai penyakit orkid dan racun yang sesuai untuk rawatan.
Sekian, semoga bermanfaat untuk anda.

Jenis-Jenis Orkid di Malaysia

Jenis-jenis Orkid
Secara ringkas orkid di kelaskan kepada  beberapa peringkat seperti cara pertumbuhan dan cara hidupnya.Baca selanjutnya
A) Spesis – merujuk kepada orkid liar.  Di dalam penulisan   piawai adalah mudah untuk mengetahui sama ada sesuatu orkid itu adalah spesis dengan melihat pada:
a.      Huruf  ‘italic’ digunakan
b.      Hanya huruf pertama sahaja huruf  besar, yang lain adalah berhuruf kecil
Contoh : Phalaenopsis bellina
B)  Hibrid –  merujuk kepada orkid yang telah dikacukan di antara sesama genus atau  sesama famili. Cara mengenal pasti sesuatu orkid itu hibrid mengikut penulisan piawai adalah seperti berikut;
a.      Huruf  tegak digunakan sepenuhnya
b.      Setiap huruf pertama bagi setiap perkataan akan dimulai dengan huruf besar.
Contoh :  Phalaenopsis Timothy  Christopher
Contoh orkid kacuk sesama genus :
Bulbophyllum  Meen Garuda – adalah hasil kacukan orkid daripada genus bulbophyllum. Ia terhasil daripada kacukan Bulbophyllum lasiochilum dengan Bulbophyllum echinolabium.
Contoh orkid kacuk sesama famili:
Aranda Majul ‘Rimau’ – adalah kacukan orkid daripada famili Vanda. Ia terhasil daripada kacukan Arachnis Maggei Oei dengan Vanda insignis.
(Nota : Arachnis Maggei Oei = Arachnis hookeriana X Arachnis flos-aeris)

Orkid yang popular di tanam di Malaysia
Kebanyakkan orkid yang mendapat permintaan ramai ialah orkid hibrid. Ini kerana beberapa faktor seperti;
  • warna bunga yang lebih menarik
  • bunga yang tahan lama
  • pokok tahan lasak berbanding dengan orkid liar
  • harga yang murah berbanding orkid liar
  • saiz bunga yang lebih besar berbanding orkid liar
  • sesuai untuk jualan keratan bunga
Terdapat beberapa jenis genus  orkid yang popular di tanam di nurseri nurseri di dalam kuantiti yang besar kerana mendapat permintaan tinggi di pasaran Malaysia khususnya. Antaranya;
  • Dendrobium
  • Phalaenopsis
  • Arachnis
  • Vanda
  • Cattleya
  • Oncidium

Friday, 23 September 2011

Pengenalan orkid

Orkid tergolong dalam kaluarga Orchidaceae iaitu family yang mempunyai banyak perbezaan dari segi bentuk bunga dan pokok bagi menentukan genus dan spesies. Terdapat lebih daripada 111 genus dan 808 spesies orkid di Malaysia.

Pada amnya, pokok orkid boleh dikenali melalui bentuk bunga, akar, daun dan batangnya. Walau bagaimanapun, bunga adalah bahagian pokok yang paling sesuai digunakan atau dilihat untuk mengenal pasti genus tanaman orkid. Secara umum, orkid komersil boleh dikelaskan kepada dua jenis kumpulan yang besar, iaitu orkid simpodium dan monopodium.
 
Simpodium adalah cara pertumbuhan yang berakhir dengan pengeluaran bunga. Orkid dalam kumpulan ini boleh tumbuh sama ada diatas pokok (epifit) atau di atas tanah (terestrial). Batang pokok berbentuk seperti bebawang semu, menjalar dan mempunyai pertumbuhan dua atau berbagai hala. Ia mempunayi bebawang semu yang panjang beruas-ruas atau pendek tanpa beruas. Akar dan daun akan terbit daripada bebawang semu manakala  tunas baru pula akan mengeluarkan bunga apabila matang. Setelah bunganya layu, daun-daun akan menjadi kuning dan gugur. Dengan makanan ynag tersimpan di dalamnya, bebawang semu tua akan mengeluarkan tunas baru di pangkal rumpun sebelum mengecut dan mati. Setelah tunas baru ini membesar, bebawang semu tua tersebut akan pupus. Genus-genus orkid komersil yang terdapat di dalam kumpulan simpodium ialah Oncidium, Cattleya dan Dendrobium. Pada kebiasaannya orkid simpodium yang baik akan mengeluarkan 1 atau 2 tangkai bunga pada setiap bebawang semu. Potensi pengeluaran bunga bagi setiap rumpun pula bergantung kepada pengwujudan bebawang semu yang baru. Keadaan ini walau bagaimanapun tidak berlaku pada orkid Dendrobium.

Monopodium adalah cara pertumbuhan yang tidak berakhir dengengan pengeluaran bunga. Batangnya kecil dan diliputi oleh upih-upih daun. Batang orkid monopodium tidak bercabang dan boleh mengeluarkan tunas-tunas baru setelah dipotong. Keratin batang kemudiannya ditanam di dalam pasu diatas tanah yang tidak lembab. Variety yang aktif akan mempunyai tabiat pengeluaran bunga setiap hari setiap aksil daun tersebut akan terbiar dormant.

Jangkamasa matang bagi setiap jenis orkid juga berbeza-beza antara genus, sepsis, hybrid dan jenis bahan tanaman yang digunakan. Ia bergantung kepada sifat-sifat semulajadi bahan genetik yang terdapat dalam setiap jenis varieti. Pada kebiasaannya pokok-pokok yang dihasilkan dari biji benih mengambil masa antara 1-3.5 tahun untuk matang, manakala pokok-pokok yang dihasilkan dari bahan keratan tampang mengambil masa antara 4 hingga 12 bulan bergantung kepada saiz dan pokok induk dari mana keratan tersebut diambil.